Tuesday, June 30, 2009
Resah Berpanjangan
...
Aku pun sebenarnya sudah lupa. Samada aku terlihat kelibat dirimu dahulu atau peristiwa yang akan aku ceritakan ini.
Apa pun antara keduanya; aku kehilanganmu dan resahku mula bertamu.
Ketika aku di tengah-tengah pengajian. Di ibu kota yang semakin lama semakin kelam dengan wajah asalnya yang selama ini terlindung oleh warna-warna terang ciptaan manusia.
Aku menerima sepucuk surat. Dari kampung.
Abang aku, menulis. Ringkas.
Rumah sudah kena roboh. Notis yang di beri hanya empatbelas hari. Kami sudah berpindah ke Gong Badak.
Aku tak mampu membayangkan apa-apa. Ketika itu, aku hanya mahu pulang ke kampung dan melihat sendiri rumah yang selama ini menjadi teduhan aku sekeluarga akan menyembah bumi ditolak oleh jentolak.
Kesedihan pasti sarat.
Cuti semester lambat lagi. Aku mulai menghitung hari.
Tiba sahaja cuti semester, aku tidak menunggu lama, menjelang maghrib aku sudah berada di Hentian Putra. Aku mahu pulang ke kampung halaman yang entah apa kejadiannya. Entah apa yang menanti aku di sana.
Sebagaimana lazimnya, aku pasti akan terjaga apabila bas tiba di pekan Marang. Entah kenapa tetapi liuk-liuk pelepah kelapa yang bergerak lembut di pupuk bayu pagi pasti menggamit kerinduan aku kepada segala-gala yang ada di sini.
Sekitar jam lima pagi.
Sejuk dingin menggigit dan terasa ke ulu hati.
Melalui Batu Buruk, jalan lurus yang meninggalkan banyak tanda; aku melihat rumah aku yang sudah tiada.
Sayu seketika.
Terlihat tempat aku bermain ketika kecil sehingga meningkat dewasa. Pokok-pokoknya, pasir putihnya, suasananya, aromanya dan kenangan-kenangan yang terkumpul di sekitarnya.
Sekelip mata, hidup mengubah haluannya.
Tiba di stesen bas. Berjalan dalam dingin subuh dan solat di Masjid Putih. Menunggu bas lagi di stesen bas henti-henti. Matahari sudah mahu memunculkan diri.
Perjalanan selama satu jam atau mungkin melebihi. Masa itu, belum ada jambatan lagi.
Tiba di pertengahan, turun dari bas dan berjalan kaki melalui semak dan pokok-pokok tinggi. Peluh mencurah ke bumi. Baru tiba ke rumah baru kami. Rumah yang belum ada bilik. Arwah ayah sekadar memasang langsir membahagikan ruang.
Rumah kecil yang serba kekurangan.
Aku memandang sekeliling. Kotak-kotak dan plastik-plastik hitam masih bertaburan. Belum sempat lagi dikemaskan atau mungkin, tiada tempat untuk di simpan.
Aku menghela nafas panjang.
Tak lama selepas itu, aku dapati segala surat-surat, segala album gambar aku dan segala milikan aku sudah hilang entah ke mana.
Tiada di dalam kotak atau plastik yang koyak rabak.
Tiada.
Surat akhirmu dan alamat rumahmu. Gambar curimu. Sekeping duit separuh seringgit yang menjadi janji bahawa kita akan diketemukan semula.
Hilang.
Mungkin, ianya ketentuan. Aku hanya mampu duduk termenung panjang.
Bila aku ke tapak rumah lama yang hanya tinggal sisa-sisa dan rangka. Aku seakan melihat kau melambai-lambaikan tangan dari sebuah Proton Saga warna merah yang semakin lama semakin hilang dari pandangan.
...dan resah itu berpanjangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment