Monday, October 12, 2009
Sebuah Garisan Di Hujung Larian.
...
Sebenarnya, sukar untuk aku menamatkan sebuah kisah yang penuh dengan sejuta rasa resah.
Tapi, setiap yang bermula pasti akan menemui akhirnya. Begitu juga dengan kita, kisah kita, perasaan yang kita sama-sama berkongsi berdua, suatu masa.
Bila kita bersua kini, walau hanya secara maya. Walau hanya sekadar bertukar cerita, kita dan keluarga kita masing-masing yang kita sama-sama kasih dan cinta. Aku dapat merasakan bahagia. Aku dapat merasakan satu rasa yang dahulunya kita sangka, satu rasa yang sukar untuk kita berikan makna.
Bukan niat untuk menghimbau kenangan lama demi untuk membuka semula perasaan sesama kita. Tidak. Aku tahu kau tahu, kita hanya sekadar bercerita tentang masa lalu.
Kalau dulu, kita hanya setakat bertukar jelingan mata dan senyum yang kita ukirkan pada dinding-dinding sekolah, pada padang rumput yang menghijau cerah. Kisah remaja yang sama-sama mentah dan lemah dalam mengungkai gurindam dan madah.
Kini, kita bertukar-tukar cerita.
Kini, kita saling berkongsi kisah hidup yang kadang-kalanya menjadi jalan yang kita langkah bersama. Cuma, destinasi kita mungkin berbeza. Aku di sini dan kau di situ.
Kita yang sekadar bercerita tentang masa lalu.
Tentang duit seringgit yang cuma tinggal sebelah.
Tentang waktu yang terus berlalu
Tentang kau, aku dan sejarah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment