Saturday, June 13, 2009
Aku Minta Kau Melupakan Aku
Dalam sebuah kamar kecil, rumah kayu yang senget. Dingin pagi menggigit. Tingkap nako di dalam kamar membuka sedikit ruang untuk udara pagi menerobos masuk dan mendinginkan udara yang terkurung.
Tiada kipas angin.
Hanya sebuah meja kecil berkaki besi bekas kaki meja makan yang telah dibuang.
Sebuah kerusi makan bewarna hijau yang carik dan tembus di tempat duduknya.
sesekali terdengar unggas berbunyi dari belakang rumah.Takut juga hendak membuka tingkap nako kerana di belakang itu ada sepohon pokok tembusu yang berjuntai-juntai dan tempat; entah sapa, membuang ancak.
Pagi-pagi sebegitu.
Sebuah radio kecil bewarna putih menemani dengan lagu-lagu membuai.
Hati aku berat. Fikiran aku sarat.
Aku mempunyai dua pilihan. Menyepikan diri dan membiarkan kisah kita berakhir tanpa kesudahan yang nyata. Tanpa surat, kita pasti akan hanyut dalam cerita kita masing-masing. Entah akhirnya di mana.
Rumah aku tiada telefon. Tiada.
Aku membuat keputusan. Aku mencapai kertas dan pena lantas aku menulis warkah buatmu, cahaya pagiku. Dahulu.
Dadaku berdebar dan tanganku terketar.
Sukar sebenarnya untuk aku melepaskanmu. Tapi, demi aku dan kamu.Demi kita, aku terpaksa.
Aku melihat sekeliling aku.
Rumah yang senget menunggu masa untuk rebah. Keputusan SPM aku, walau pangkat satu tapi aggregatnya sekadar di atas tong sahaja.
Aku memohon masuk ITM malangnya aku gagal diambil mereka.
Aku gagahkan diri mengambil STPM di tingkatan enam kerana aku tak punyai pilihan lain. Tiada.Hanya itu pilihan yang aku ada.
Apa yang aku ada yang dapat aku berikan sebagai jaminan padamu yang aku akan terus setia? Terus menuturkan rindu kita? Terus bermain dengan hati dan perasaan kita?
Untuk aku menaiki bas dan pergi ke ibukota dan mencarimu, pun; aku tak mampu.Bagaimana aku hendak mengotakan janji-janjiku? Orang secantik dan seindahmu harus aku ikat dengan sesuatu yang tidak pasti? Harus aku taburi dengan kata-kata yang tidak berpijak realiti?
Tidak mungkin.
Tuhan mungkin ada perancanganNya. Memisahkan kita. Aku redha.
Lantas aku menulis. Aku tak ingat apa yang telah aku tulis tetapi yang pasti, aku pasti. Aku, meminta agar kau melupakan diri ini. Biarlah kita mencari haluan sendiri.Takdir kita tersendiri.
Lupakan aku dan aku pun akan cuba melupakanmu.
Sesuatu yang aku gagal lakukan sehingga ke hari ini.
Aku lipat warkah itu dan aku masukkan ke dalam sampul biru. Dingin pagi menusuk ke setiap rongga dan kalbu. Jiwa aku direndam pilu.Aku merebahkan diri di atas tilam kekabu di atas katil besi dan kelambu yang koyak beberapa penjuru.
Aku harap kau tahu, aku terpaksa melepaskanmu. Tidak adil buatmu.
Aku pun tidak tahu apa yang tersedia di sepanjang jalan hidupku.
Aku berdoa agar kau berbahagia.
Biarlah Tuhan yang menentukan jodoh kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment