Thursday, July 30, 2009
Kala Malam
Di suatu malam yang hening. Hampir menjengah tengah malam.
Pantai Batu Buruk. Bulan bersinar terang.
Ombak berkejaran. Bayu berhembus perlahan.
Sayup-sayup, bunyi hempasan di dada pantai memecah sunyi alam.
Sebatang rokok masih di tangan. Asap nipis yang terbit dari hujung rokok naik berjalur dan kemudian pecah lalu bersatu dengan angin dan hilang ditelan kegelapan.
Aku sedut asapnya perlahan-lahan. Menusuk masuk ke dalam paru-paru dan menyerap ke dalam setiap bola-bola kecil udara yang menyelubungi paru-paru aku. Serentak dengan reaksi kimia yang menjalar ke ruang otak. Menjana minda aku dengan kepingan-kepingan slide kenangan. Menayangkan semua yang telah menjadi sejarah. Sejarah hidup seorang aku.
Filem-filem yang berputar dengan kelajuan malar. Ada kau dan ada aku. Ada semuanya.
Semua watak menari-nari di depan mata ilusi sambil meniti realiti asap rokok yang aku hembuskan. Kepulan memanjang ke gelap dada malam.
Gelak sembang kawan-kawan di kanan dan kiri tiba-tiba tidak kedengaran lagi. Telinga aku tidak lagi dapat merakamkan sebarang bunyi.
Hanya reel filem dari cerita-cerita lama berputar dan berputar. Memancarkan sejuta kenangan tanpa sedar.
Gelap malam di pesisir pantai Batu Buruk menjadi pembayang. Kisah lama yang kembali berulang tayang.
Antaranya, ada kamu.
Ada kamu.
…dan aku menjadi nekad. Keputusan sudah dibuat. Tidak ada lagi bentuk pipih dan bersegi empat. Semuanya menjadi bulat.
Aku harus teruskan kembara aku tanpa kamu.
Tuhan tidak menemukan. Mungkin besar hikmah dan pedoman.
Bukan kita yang berhak menentukan.
Aku telah bertemu dan aku mahu lanjutkan pertemuan itu dengan sesuatu yang fitrahnya bersatu.
…dan aku menerima hakikat bahawa antara kita tiada titik temu.
Aku menghembuskan asap rokok yang berkumpul dan mengembang dari dalam paru-paru. Aku merenung kepada kerdipan yang bersinar dengan cahaya bintang-bintang berkelipan di dada lautan. Aku merasai dingin bayu laut membelai di hujung kelopak telingaku seolah-olah berbisik. Seolah-olah hati yang merisik.
Hidup masih berterusan.
Puntung rokok yang sudah habis tembakaunya aku lontarkan dan aku buang ke dalam pasir putih lalu apinya terpadam.
Satu pengalaman.
Kau antara yang aku simpan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment