Tuesday, June 23, 2009

Kembara Waktu



...

Hawa dingin sesejuk salji keluar menerobos dari dua corong hitam di atas kepala. Wap putih menikam ubun-ubun aku. Aku cuba menutup corong itu secara memusingkan ke kanan dan ke kiri tetapi usaha aku hanya sia-sia, seolah-olah corong itu sengaja dibiarkan tanpa boleh ditutup.

Aku cuba pula mengalihkan corong itu agar tidak terus menikam ubun-ubun dengan hirisan-hirisan udara sejuk membeku tetapi corong itu sudah kejap dan tak mampu beralih lagi.

Jaket fabrik aku sudah tidak mampu menentang kesejukan itu lagi.

Aku menggigil.

Menggeletar.

Jam di tangan menunjukkan hampir empat pagi.

Bas ekspress yang aku naiki beroleng-oleng memanjat banjaran titiwangsa yang berliku-liku. Perlahan dan mengaum kepayahan.

Aku melihat ke luar tingkap yang gelap.

Hanya berbayang rumah-rumah yang dibina di pinggir pergunungan. Sayup. Kejauhan.

Tertulis ‘Selesa Hillhomes’.

Siapakah yang tinggal di situ agaknya? Bisik hati kecil aku.

Aku lemparkan pandangan jauh ke dada banjaran. Pokok-pokok yang entah ratusan tahun usianya tegap berdiri menjulang awan. Kabus singgah di ranting dan dahan.

Samar cahaya bulan.

Bulan yang akan menghilang hanya dalam beberapa jam lagi.

Entah mengapa. Kembara aku kali ini cukup emosi. Cukup mengguris hati.

Dari meluh tingkap yang sejuk dikelubung oleh hawa pendingin dan sesekali embun pagi yang baru pecah terpalit di tingkap dan lurut di simbah angin melaju.

Bagaikan kembara hidup itu terhimbau dan tertulis di kerikil yang terurai kaku di pinggir jalan yang dilewati pantas.

Dan hidup itu berlalu tanpa sempat aku membaca batu-batu jarak.
Dan hidup itu berlalu tanpa sempat aku mengira waktu.

Tergambar wajah-wajah mereka di awan yang menggumpal.

Nun di langit sana yang semakin mencerah.

Jemari tangan kanan aku lekapkan ke cermin tingkap yang masih meluh meruwap.

Hati kecil berbisik.

“maafkan aku kerana meninggalkan mu dulu..”

….

Cahaya yang berbalam menyuluh bangunan yang menyapu awan.
Kuala Lumpur.

Aku lena di ribaanmu.

No comments:

Post a Comment