Tuesday, June 30, 2009

Resah Berpanjangan


...

Aku pun sebenarnya sudah lupa. Samada aku terlihat kelibat dirimu dahulu atau peristiwa yang akan aku ceritakan ini.

Apa pun antara keduanya; aku kehilanganmu dan resahku mula bertamu.

Ketika aku di tengah-tengah pengajian. Di ibu kota yang semakin lama semakin kelam dengan wajah asalnya yang selama ini terlindung oleh warna-warna terang ciptaan manusia.

Aku menerima sepucuk surat. Dari kampung.

Abang aku, menulis. Ringkas.

Rumah sudah kena roboh. Notis yang di beri hanya empatbelas hari. Kami sudah berpindah ke Gong Badak.

Aku tak mampu membayangkan apa-apa. Ketika itu, aku hanya mahu pulang ke kampung dan melihat sendiri rumah yang selama ini menjadi teduhan aku sekeluarga akan menyembah bumi ditolak oleh jentolak.

Kesedihan pasti sarat.

Cuti semester lambat lagi. Aku mulai menghitung hari.

Tiba sahaja cuti semester, aku tidak menunggu lama, menjelang maghrib aku sudah berada di Hentian Putra. Aku mahu pulang ke kampung halaman yang entah apa kejadiannya. Entah apa yang menanti aku di sana.

Sebagaimana lazimnya, aku pasti akan terjaga apabila bas tiba di pekan Marang. Entah kenapa tetapi liuk-liuk pelepah kelapa yang bergerak lembut di pupuk bayu pagi pasti menggamit kerinduan aku kepada segala-gala yang ada di sini.

Sekitar jam lima pagi.

Sejuk dingin menggigit dan terasa ke ulu hati.

Melalui Batu Buruk, jalan lurus yang meninggalkan banyak tanda; aku melihat rumah aku yang sudah tiada.

Sayu seketika.

Terlihat tempat aku bermain ketika kecil sehingga meningkat dewasa. Pokok-pokoknya, pasir putihnya, suasananya, aromanya dan kenangan-kenangan yang terkumpul di sekitarnya.

Sekelip mata, hidup mengubah haluannya.

Tiba di stesen bas. Berjalan dalam dingin subuh dan solat di Masjid Putih. Menunggu bas lagi di stesen bas henti-henti. Matahari sudah mahu memunculkan diri.

Perjalanan selama satu jam atau mungkin melebihi. Masa itu, belum ada jambatan lagi.

Tiba di pertengahan, turun dari bas dan berjalan kaki melalui semak dan pokok-pokok tinggi. Peluh mencurah ke bumi. Baru tiba ke rumah baru kami. Rumah yang belum ada bilik. Arwah ayah sekadar memasang langsir membahagikan ruang.

Rumah kecil yang serba kekurangan.

Aku memandang sekeliling. Kotak-kotak dan plastik-plastik hitam masih bertaburan. Belum sempat lagi dikemaskan atau mungkin, tiada tempat untuk di simpan.

Aku menghela nafas panjang.

Tak lama selepas itu, aku dapati segala surat-surat, segala album gambar aku dan segala milikan aku sudah hilang entah ke mana.

Tiada di dalam kotak atau plastik yang koyak rabak.

Tiada.

Surat akhirmu dan alamat rumahmu. Gambar curimu. Sekeping duit separuh seringgit yang menjadi janji bahawa kita akan diketemukan semula.

Hilang.

Mungkin, ianya ketentuan. Aku hanya mampu duduk termenung panjang.

Bila aku ke tapak rumah lama yang hanya tinggal sisa-sisa dan rangka. Aku seakan melihat kau melambai-lambaikan tangan dari sebuah Proton Saga warna merah yang semakin lama semakin hilang dari pandangan.

...dan resah itu berpanjangan.

Monday, June 29, 2009

Aku Biarkan Kau Berlalu



...

Hari mulai menginjak petang. Tegak mentari sudah tidak lagi seimbang.

Kami berasak-asak di dalam kereta Datsun 130Y hatchback. Berwarna kuning cair.Berenam.Dua di depan dan empat berhimpit di belakang.

Aku antara di tengah.Belakang.

Daripada pembesar suara dua belah di depan. Salem sedang bernyanyi lagu Blues Terengganu Kita.

"na na na na na Teganung Kitee..."

Melewati laluan di depan Jalan Petaling yang semakin petang semakin dipenuhi oleh pejalan-pejalan di kota yang entah tujuannya ke mana.

Entah mencari apa. Entah siapa.

dan...

Melintas seorang gadis manis bertudung, berkemeja-T dan berjeans biru di sebelah kereta kami.

Laju.

Menuju ke arah Kompleks Kotaraya.

"itu zu!" jerit kawan aku.

Kami berhimpit di belakang kereta. Empat orang semuanya.

Dalam waktu antara rembang dan panas yang masih berbahang.

Aku, antara mahu menjerit kepada kawan aku supaya berhentikan kereta.Keluar dan berlari mengejarnya.

atau...

aku biarkan dia berlalu.

Kereta Datsun 130Y hatchback. Berwarna kuning cair. Tiada pendingin hawa.

Kami berhimpit-himpit. Berpeluh.

"na na na na na na Teganung Kitee..."

Salem Iklim masih bernyanyi.

...dan aku biarkan dia berlalu pergi.

Aku biarkan.


Biarlah itu menjadi keputusan diri.

Biarlah...
Aku lepaskan pelangi

maafkan aku.
Tuhan membekukan gerak hatiku atas hikmah yang kita tidak tahu.

Sunday, June 28, 2009

Sejuta Warna




Ketika aku di tahun tiga pengajian. Di ibu kota.

Paling aku ingat adalah ketika tibanya pesta konvokesyen. Pusat pengajian tertua. Ketika semua sibuk dengan aktivitinya. Ketika semua sibuk dengan teman-teman wanita mereka. Ketika semua sibuk dengan perhubungan-perhubungan neo-romantik. Percintaan yang pragmatik.

Ketika naluri mendesak hati.

Aku berdiri sendiri di antara laung-laung tawa dan gembira. Sunyi.

Aku kaku dalam gelombang gerak manusia yang bertali-arus dan tak putus-putus melewati aku, mengelilingi aku. Masa aku terhenti sedang putaran kehidupan berputar ligat di atas paksi.

mengejek-ngejek aku.

Aku menghubungi seorang teman. Sekadar untuk menemani aku di dalam pesta keriuhan. Perempuan.

Dia sangat teruja. Sangat gembira dengan pelawaan aku. Sangat tidak sabar untuk melintas taman temasya dataran ilmu.

Dia datang dihantar oleh teman lelakinya.

Alangkah!

Aku tak tahu apa perasaan teman lelakinya. Kami tidak bersua. Aku hanya di minta menunggu. Tapi, aku tahu perasaan aku. Aku tak boleh menipu.

Dia seharusnya menolak ajakan aku!
Semestinya! Seharusnya!

Aku tidak tahu.

Ketika berjalan berdua dengannya. Aku teringatkanmu.
Sangat-sangat teringatkanmu.

Dia sepatutnya kamu.

Petang. Rembang, aku menghantarnya pulang ke pondok perhentian. Dan...aku tinggalkan dia menunggu di situ, dijemput teman lelakinya nanti. Aku tak sanggup menemani.

Ketika berjalan dalam suram petang melewati gelanggang tenis yang lengang dan tasik varsiti yang muram, aku berfikir.

Termenung jauh ke lazuardi dan berfikir lagi dan lagi.
Lagi dan lagi.
Aku harus mencarimu kembali.

Mesti.

Tiada maknanya gerimis tanpa pelangi.
Tiada maknanya sejuta warna tanpa kau di sisi.

Wednesday, June 24, 2009

Luasnya Dunia.


seorang budak kampung. di tengah-tengah kota.

lampu neon menyilaukan dunia.

Segala-gala di kota adalah sangat mengujakan. Manusianya, kejadiannya, peristiwanya, jiwanya, keseronokannya, liku-liku lorongnya.

...dan kehidupannya.

Tahun pertama aku di kota, tidak terlintas untuk aku mencarimu. Mungkin, terlalai dengan janji-janji yang ditawarkan oleh sebuah entiti bernama kotaraya.

Mungkin, seronok dengan keindahannya.

dan mungkin, terlalu sibuk mencari cinta.

Tidak aku tahu, kau ketika itu menderita dan dambakan semangat untuk teruskan kembara.

Aku tidak tahu, maafkan aku.

Lampu neon bersinar dan berkilau memukau mata.
Aku terpesona.

...dan aku menjadi lupa pada pelangi dan lingkungan warnanya.

Tuesday, June 23, 2009

Kembara Waktu



...

Hawa dingin sesejuk salji keluar menerobos dari dua corong hitam di atas kepala. Wap putih menikam ubun-ubun aku. Aku cuba menutup corong itu secara memusingkan ke kanan dan ke kiri tetapi usaha aku hanya sia-sia, seolah-olah corong itu sengaja dibiarkan tanpa boleh ditutup.

Aku cuba pula mengalihkan corong itu agar tidak terus menikam ubun-ubun dengan hirisan-hirisan udara sejuk membeku tetapi corong itu sudah kejap dan tak mampu beralih lagi.

Jaket fabrik aku sudah tidak mampu menentang kesejukan itu lagi.

Aku menggigil.

Menggeletar.

Jam di tangan menunjukkan hampir empat pagi.

Bas ekspress yang aku naiki beroleng-oleng memanjat banjaran titiwangsa yang berliku-liku. Perlahan dan mengaum kepayahan.

Aku melihat ke luar tingkap yang gelap.

Hanya berbayang rumah-rumah yang dibina di pinggir pergunungan. Sayup. Kejauhan.

Tertulis ‘Selesa Hillhomes’.

Siapakah yang tinggal di situ agaknya? Bisik hati kecil aku.

Aku lemparkan pandangan jauh ke dada banjaran. Pokok-pokok yang entah ratusan tahun usianya tegap berdiri menjulang awan. Kabus singgah di ranting dan dahan.

Samar cahaya bulan.

Bulan yang akan menghilang hanya dalam beberapa jam lagi.

Entah mengapa. Kembara aku kali ini cukup emosi. Cukup mengguris hati.

Dari meluh tingkap yang sejuk dikelubung oleh hawa pendingin dan sesekali embun pagi yang baru pecah terpalit di tingkap dan lurut di simbah angin melaju.

Bagaikan kembara hidup itu terhimbau dan tertulis di kerikil yang terurai kaku di pinggir jalan yang dilewati pantas.

Dan hidup itu berlalu tanpa sempat aku membaca batu-batu jarak.
Dan hidup itu berlalu tanpa sempat aku mengira waktu.

Tergambar wajah-wajah mereka di awan yang menggumpal.

Nun di langit sana yang semakin mencerah.

Jemari tangan kanan aku lekapkan ke cermin tingkap yang masih meluh meruwap.

Hati kecil berbisik.

“maafkan aku kerana meninggalkan mu dulu..”

….

Cahaya yang berbalam menyuluh bangunan yang menyapu awan.
Kuala Lumpur.

Aku lena di ribaanmu.

Berlari


...

Dalam aku berlari.

Kadang-kala riuh di kanan dan kiri.
Kadang-kala sunyi.

Sepi dan berseorangan. Meniti hari-hari yang berlalu pergi.
Tiada lagi pelangi yang seringkali menjenguk aku di sini.


Fitrah ini. Aku berserah kepada Ilahi.

Kita terlalu sering bermimpi, adakalanya ia menjadi realiti.

...adakalanya ia kekal menjadi mimpi yang terus hadir pada setiap dinihari.

Hari Hari Yang Berlalu


...

bagaikan berlari
tiada sesaat berhenti

Hidup aku, aku teruskan dengan kehidupan.
Sibuk mengejar impian.
Lelah mendaki cabaran.

Ketika di tingkatan enam atas, aku bulatkan tekad dan aku kuatkan azam. Aku mahu terbang setinggi helang.

Aku sudah bosan menjadi pipit yang hanya mampu berlegar di kaki bukit.

Datang tawaran dari ITM untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang 'estate management' di Manjung pada Januari. Aku tolak.

Aku mahu berlari terus ke hujung pelangi.
Biarlah tiada tempayan emas sebagaimana di janji tetapi sekurang-kurangnya aku mencecah ke tempat mulanya warna berpecah.

Sesekali, aku teringatkanmu.

Ayumu dalam seragam pengakap kumpulan tigabelas laut. Senyum bibirmu yang mengusik mimpi.

tapi, hidup tidak terhenti dengan sekadar satu ingatan yang tidak mati. Hidup harus berlari.

...dan aku berlari.

Ketika aku berlari, sering aku berselisih dengan ramai manusia dan banyak peristiwa.Adakala aku berhenti dan menawarkan hati dan adakala aku sekadar melihat mereka berlalu pergi.

Sehinggalah aku memulakan pengembaraanku ke ibu kota.

Mengejar mimpi.
Memburu cita-cita.

Terlihat kelibat dirimu ketika aku sedang mencari-cari.
Langkah terhenti.

Di Dalam Suratmu Itu...


...

Aku sebenarnya telah lupa isi kandungan suratmu. Maafkan aku.

Seingat aku, kau redha dengan keputusanku untuk saling melupakan dan saling meneruskan kehidupan.

Kau tanpa aku, aku tanpa mu.

Seingat aku, kau juga menulis dengan deraian airmata. Pasrah dan sayangnya pada satu perhubungan yang sebenarnya belum pun bermula. Kita sekadar berada di pintu dan melihat apa yang terhidang sebelum kita sama-sama meneroka dengan lebih dalam.

Kita belum sempat mengembara.

Terpisah dengan keadaan dan terhalang dengan ketentuan.

Aku sebenarnya tergamam dengan balasan suratmu yang penuh dengan emosi, sarat dengan luahan hati. Kau mengundang sejuta erti.

Kita yang selama ini amat jarang berbicara, kita yang selama ini hanya bertentangan mata, kita yang selama ini tidak tahu bagaimana hendak bercinta.

tiba-tiba, suratmu menyimbah aku dengan gelombang nalurimu. Kata hatimu.

Ikhlas, ketika itu baru aku tahu bahawa kau juga menyayangi seorang aku. Kita tidak pernah berkesempatan untuk meluahkan.

Perpisahan ini adalah takdir dari Tuhan.

Aku lipat kembali suratmu sambil bayang-bayang dirimu melatari sebuah cerita cinta yang akhirnya ditamatkan dengan pengertian yang penuh bisa. Aku simpan sampulmu dengan lagu-lagu yang mengiringi sarikata kisah kita.

Aku tunduk dan menekup muka.

Aku tidak menangis dengan perpisahan tetapi aku menjadi hiba dengan ketelusan dan keikhlasan yang selama ini kita simpan. Kita simpan sehingga ianya perlahan-lahan menghilang.

Aku sangka, itulah akhirnya kisah kita.

Pelangi kembali menjadi tujuh warna.

..dan kau menjadi satu potret yang aku lukiskan pada siling kotak hati yang tak akan menjadi sama, selama-lamanya.

selama-lamanya.

Sunday, June 14, 2009

Aku Terima Balasan Suratmu



..dan aku merasa himbauan sendumu.

Aku Cuba



Setelah menghantar surat itu melalui pos.

Dunia seakan sunyi buat seketika. Masa seakan terhenti dari berdetik. Segala-galanya bagaikan dilanggar garuda.

Hidup aku teruskan.

dan cuba melupakanmu.

Cuba.

Tapi, setiapkali aku melihat Asrama Puteri dan pelajar-pelajar yang berjalan dalam dua barisan menuju ke kelas, aku teringatkanmu. Bagaimana dulu, aku akan melihat dari jauh dan cuba meneka yang mana satu dirimu yang berjalan itu.

Setiapkali aku melihat bangku batu di bawah pokok di hadapan perpustakaan, aku akan teringatkanmu.

Setiapkali aku melihat rumah Pengakap di hujung padang, aku akan teringatkanmu.

Setiapkali aku melihat kelibat seakan-akanmu, aku memanggil. Yang berpaling bukan dirimu.

Bukan.

Kau telah berlalu.

Bersama gerak langkahmu, bersama senyum manismu, bersama lirik matamu.

Tinggal aku sendiri melihat matahari pagi yang memancar pada ruang tingkap dan melukiskan namamu di dinding hatiku.

..dan aku cuba melupakanmu.

Saturday, June 13, 2009

Aku Minta Kau Melupakan Aku



Dalam sebuah kamar kecil, rumah kayu yang senget. Dingin pagi menggigit. Tingkap nako di dalam kamar membuka sedikit ruang untuk udara pagi menerobos masuk dan mendinginkan udara yang terkurung.

Tiada kipas angin.

Hanya sebuah meja kecil berkaki besi bekas kaki meja makan yang telah dibuang.

Sebuah kerusi makan bewarna hijau yang carik dan tembus di tempat duduknya.

sesekali terdengar unggas berbunyi dari belakang rumah.Takut juga hendak membuka tingkap nako kerana di belakang itu ada sepohon pokok tembusu yang berjuntai-juntai dan tempat; entah sapa, membuang ancak.

Pagi-pagi sebegitu.

Sebuah radio kecil bewarna putih menemani dengan lagu-lagu membuai.

Hati aku berat. Fikiran aku sarat.

Aku mempunyai dua pilihan. Menyepikan diri dan membiarkan kisah kita berakhir tanpa kesudahan yang nyata. Tanpa surat, kita pasti akan hanyut dalam cerita kita masing-masing. Entah akhirnya di mana.

Rumah aku tiada telefon. Tiada.

Aku membuat keputusan. Aku mencapai kertas dan pena lantas aku menulis warkah buatmu, cahaya pagiku. Dahulu.

Dadaku berdebar dan tanganku terketar.

Sukar sebenarnya untuk aku melepaskanmu. Tapi, demi aku dan kamu.Demi kita, aku terpaksa.

Aku melihat sekeliling aku.

Rumah yang senget menunggu masa untuk rebah. Keputusan SPM aku, walau pangkat satu tapi aggregatnya sekadar di atas tong sahaja.

Aku memohon masuk ITM malangnya aku gagal diambil mereka.

Aku gagahkan diri mengambil STPM di tingkatan enam kerana aku tak punyai pilihan lain. Tiada.Hanya itu pilihan yang aku ada.

Apa yang aku ada yang dapat aku berikan sebagai jaminan padamu yang aku akan terus setia? Terus menuturkan rindu kita? Terus bermain dengan hati dan perasaan kita?

Untuk aku menaiki bas dan pergi ke ibukota dan mencarimu, pun; aku tak mampu.Bagaimana aku hendak mengotakan janji-janjiku? Orang secantik dan seindahmu harus aku ikat dengan sesuatu yang tidak pasti? Harus aku taburi dengan kata-kata yang tidak berpijak realiti?

Tidak mungkin.

Tuhan mungkin ada perancanganNya. Memisahkan kita. Aku redha.

Lantas aku menulis. Aku tak ingat apa yang telah aku tulis tetapi yang pasti, aku pasti. Aku, meminta agar kau melupakan diri ini. Biarlah kita mencari haluan sendiri.Takdir kita tersendiri.

Lupakan aku dan aku pun akan cuba melupakanmu.

Sesuatu yang aku gagal lakukan sehingga ke hari ini.

Aku lipat warkah itu dan aku masukkan ke dalam sampul biru. Dingin pagi menusuk ke setiap rongga dan kalbu. Jiwa aku direndam pilu.Aku merebahkan diri di atas tilam kekabu di atas katil besi dan kelambu yang koyak beberapa penjuru.

Aku harap kau tahu, aku terpaksa melepaskanmu. Tidak adil buatmu.

Aku pun tidak tahu apa yang tersedia di sepanjang jalan hidupku.
Aku berdoa agar kau berbahagia.

Biarlah Tuhan yang menentukan jodoh kita.

Thursday, June 11, 2009

Menulis Warkah



Aku menulis warkah buatmu...

yang terakhir kalinya.

Tatkala aku menulisnya itu. Pada pendapatku dan pada firasat hatiku.

It was the right thing to do...

pada masa itu.

Kau di sana dan aku di sini. Kita tidak lagi selari. Kita harus mencari halatuju dan destinasi kita sendiri.

Jauh



Kita terpisah jauh.

Beribu batu, antara kau dan aku.

Rindu dan hidup yang mesti terus walau tanpa kelibat wajahmu.

Kita berutus surat tetapi kata-kata tertulis tidak mampu membayangkan senyumanmu.Yang, semakin hari semakin pudar di mamah sunyi. Sunyi tanpamu.Obsessi yang mati.

Dunia di hadapanmu mungkin meluas dan sayup tanpa aku dapat bersama-sama berdiri di sisimu melihat saujananya.

...dan duniaku juga meluas dan sayup tanpa kau bersama bersaujana mata.

nyata, dunia kita semakin berbeza. Terpisah dan rasa yang kita kongsi bersama semakin lemah.
Sesekali, tanpa aku sedari. Amat lemah sekali.

Surat-suratmu dan surat-suratku menjarang.

Bayanganmu semakin menghilang.

lantas, aku duduk memikirkan masa depan. Memikirkan ruang dan peluang yang kita tutup dengan janji serta semangat duit seringgit yang separuh koyak. Janji yang kian rabak.

Adilkah kita berterus-terusan sebegitu?

Adilkah kesetiaan yang mahu kita usung sehingga hujung waktu yang kita sendiri tidak tahu?

Bukan kita yang menentukan apa yang akan terjadi di masa hadapan. Bukan kau dan nyata bukan aku juga.

Entah bila kita akan berjumpa. Sedang, desakan-desakan dunia menghambat kita.

Aku menulis padamu...aku harap kau mengerti.

benar-benar mengharap agar kau akan mengerti...

Seketika Cuma



Sayangnya...

Keluargamu berpindah jauh dan untuk setahun itu, kau tinggal di asrama.

Tahun hadapannya. Kau harus mengikut turut.

Sebelum sesi persekolahan sembilan belas lapan puluh lapan berakhir, kau berikan aku sebuah buku untuk aku catatkan sesuatu.Sebuah memoir pendek tentang aku.

Aku mencoret rasa di situ.Kecewa mungkin dengan tempoh yang singkat hanya kita dapat berkongsi rasa.Sedang, kita masih baru bermula. Rasa yang masih menebal cintanya, rindunya.

Aku lupa apa yang telah aku catatkan di dalam buku mu itu.

Tapi, pasti. Aku koyakkan sekeping duit kertas seringgit. Sebelah aku tampalkan pada buku catatanmu itu dan sebelah lagi aku simpan.Kemas.

Kita tidak tahu apa yang terancang di masa hadapan.Kita tidak pernah akan tahu.

Harapan aku, kita akan bertemu lagi dan kita cantumkan kembali seringgit itu.

Seakan janji.

Mengunci hati.

Janji yang akhirnya aku sendiri mungkiri.

Wednesday, June 10, 2009

Andai Ku Tahu



Dan sebenarnya...

Aku sendiri pun tidak tahu. Apakah kita sedang asyik berkasih atau kita hanya mengembara ke satu alam yang baru kita temui dan yang kita sendiri pun tidak tahu. Pertama kali buatku dan mungkin pertama kali juga buatmu. Ketika itu.

Kita hanya melangkah mengikut apa yang tersedia buat kita.

Jalan yang cukup berliku dan jauh. Kita hanya baru bermula. Entah berapa banyak simpang dan entah berapa banyak perhentian harus kita tempuh nanti.Tidak kita ketahui.

Pada usia kita belasan tahun, mungkin; itulah namanya cinta.

Aku memuja namamu dan engkau pula menyahut panggilanku.

Kita tidak pernah berjalan bergandingan tangan di tepi pantai tatkala matahari terbenam.

Kita tidak pernah bersama berdua memadu kata-kata rindu dan cinta.

Kita tidak pernah berutus surat dan menyatakan segala isi hati dan rasa.

Kita tidak pernah menjadikan perhubungan kita sesuatu yang amat tinggi letaknya lantas orang lain tidak dapat melihatnya.

Kita tidak pernah.

Tidak.

Aku.

Aku hanya menjadi rindu untuk melihatmu, mengukur setiap inci senyumanmu.
...dan menjadi nanar hanya dengan menyebut namamu.

Aku.

Itu aku. Tatkala itu.

Apakah itu cinta?
Tulus dan bahagia?

Jangan kau tanya aku. Aku tidak tahu.

yang aku tahu, kaulah segala-galanya buatku....

Tuesday, June 9, 2009

Setelah Hujan



Selepas dua tahun memerhatikanmu, gerak-geri mu. Bagai, menanti terbitnya pelangi.

Aku simpan senyumanmu dalam hati yang meronta-ronta ingin memiliki.

Akhirnya aku tahu yang kau juga begitu. Memerhatikan aku. Lantas, alam kita bersatu dalam satu rasa yang sama.

Aku tak tahu apakah itu cinta? atau mungkin sekadar rasa yang terbit dari jiwa setelah sekian lama menjadi pemerhati yang paling setia.

ikhlasnya, aku tak tahu.

kerana rasa itu tidak pernah muncul sebelum ini. Ini yang pertama kali.

Pertama kali.

dan kita mungkin bukan sepasang merpati yang terbang sentiasa bersama. Kita masih seperti dulu, sebegitu. Bertukar senyum dan berkirim salam.Tetapi, aku tahu bahawa hatimu ketika itu sudah mampu aku takluki. Walau tanpa suara, tanpa ikatan kata-kata tetapi sudah cukup untuk aku tidak berganjak dari melihatmu bagaikan pelangi.

setelah hujan.

Sembilan belas lapan puluh lapan.

Pelanginya melebihi tujuh warna.

Bicara Kita Hanyalah Pandangan Mata



kita berkirim salam dan saling memerhatikan.Hanya itu yang mampu kita lakukan.

Hanya itu.

sesekali, haluan kita bertemu pada persimpangan. Terutamanya ketika pagi Jumaat.Pada aktiviti-aktiviti Badan Beruniform dan kita menjadi pemerhati diri antara berdua yang amat setia.

Aku perhatikan gerak langkahmu yang sudah menjadi sebati dengan obsessi diri.

Kau perhatikan aku (barangkali) dengan leret matamu yang bercahaya.

Bagaikan cermin.

Ketika itu, kita seakan-akan berbicara tentang rasa, tentang cinta, tentang hidup dunia.

Sedangkan, hakikatnya; kita cuma bertukar pandangan.

Sesekali senyuman.

Tapi itu, ketika itu. Sudah merupakan sesuatu yang amat besar implikasi dan erti.

Seingat aku, aku pernah menelefon rumahmu. Tapi bicara kita hanya seketika. Kalau dibandingkan dengan bicara hati kita, bualan kita cuma sehasta dari jalan yang memanjang dan tidak berkesudahan.

Lalu, aku anggapkan senyumanmu itu, lirik matamu itu; perbualan kita yang cukup bermakna.Berselang-seli dengan gelak dan tawa.

dan..jiwa kita berbunga.

Indah tak terkira.

Warna-Warna Pelangi



Kita terlalu muda dan mentah untuk memahami apa itu rasa kasih dan sayang. Ketika itu.Dua puluh tiga tahun yang lalu.

Kita terlalu melihat dunia sebagai sebuah hamparan yang maha luas, sehingga kita terlupa untuk setia.Terlupa untuk membuat garis-garis pada langit agar warna-warna pelangi tidak berpecah warnanya.

Bertahun menunggumu. Hanya berbekalkan sekeping gambar yang diambil curi. Matamu terkatup dan tangan kirimu mendepa angin. Walau itu bukanlah gambarmu yang tercantik namun cukuplah untuk membuai mimpi. Cukuplah untuk meredakan rindu di hati.

Jika melihat gerak langkahmu menjadi obsessi, melihat gambar curi itu menjadi peneman di kala sunyi. Dan, sunyi itu hadirnya setiap hari.

Ikhlas, aku merasakan bahawa aku hanya bertepuk sebelah tangan.Saat-saat yang bermula itu.Tapi biarlah...

kerana kaulah yang terindah
kaulah yang menjadi pengubat di kala gundah

dan tahun-tahun berlalu tanpa jelas, bagaikan dirimu yang berselindung di balik malumu itu.

Aku Tulis Namamu Di Setiap Penjuru



Aku rasa, ketika itu. Dalam usia enam belas tahun. Aku sudah pandai menghargai keindahan.

dan kau, masih seperti itu. Masih malu-malu dan seakan-akan tidak sedar akan kewujudanku. Memerhatikanmu masih menjadi obsessi diriku.

Bertahun-tahun.

Aku cuba mendekati.

walau hanya aku mendapat balasan yang cukup sekadar membuatkan aku bermimpi.

bermimpi lagi

dan lagi.

Lantas, aku tulis namamu di setiap penjuru.

Monday, June 8, 2009

Detik Permulaan



Aku sebenarnya telah lupa bagaimana mula kita berjumpa atau, di mana pertemuan pertama kita.

Yang aku cuma ingat adalah; seorang sahabat pernah mencuit dan menunjukkan kepada aku..

"cuba kau tengok budak itu..."

...dan pertama kali aku melihat.

Aku sudah terpegun dengan kecantikan yang kau miliki. Terpegun gaya seorang budak yang berumur enam belas tahun.Ketika itu. Yang baru hendak mengenal dunia. Yang baru hendak mengenal cinta.

Lalu..

kaulah yang pertama hadir.

kaulah yang pertama bertapak.

Sehelai kain putih tanpa corak, kini terpalit warna-warna perak.

Mulanya, aku hanya memerhati. Setiap langkahmu, setiap gerak tubuhmu, setiap lirik dan senyum yang kau alunkan bersama puput bayu bertiup lembut. Aku menjadi seorang pemerhati yang sangat setia. Melihatmu bagaikan satu obsessi.

Walau, aku tahu..ketika itu,mungkin hanya aku sahaja.

dalam dunia yang menjadi semakin bewarna.